Sunday, November 9, 2014

Ir Bushro dedah amalan tidak sihat UMNO Selangor.

Bekas YB N38 Paya Jaras ini ialah Dato Ir. Muhammad Bushro bin Mat Johor

SHAH ALAM - Setelah 33 tahun bersama Umno, bekas Adun Paya Jaras, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor meluahkan rasa kurang senangnya terhadap corak dan amalan politik yang dimainkan Umno Selangor.

Beliau menegaskan, praktis taburan duit yang berlebihan menjadikan pimpinan merebut jawatan bukan untuk berkhidmat kepada rakyat sebaliknya kerana habuan dan imbuhan yang diperoleh.

“Mereka mahukan jawatan kerana agenda peribadi untuk tukar kereta, tambah itu ini. Bila pucuk pimpinan terlalu manjakan mereka dengan memberi imbuhan berlebih-lebihan, jika tak dapat merajuk dan memberontak.

“Mereka berebut nak duit dan bernafsu besar dan sepatutnya seorang pemimpin harus tampil mengambil tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muhammad Bushro berkata, teguran bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad itu sangat baik namun rombakan 100 peratus tidak boleh dilakukan kerana Umno tertakluk kepada perlembagaan.

“Saranan saya kepada perdana menteri selaku Presiden Umno perlu tegas buat keputusan kali ini, bukan hanya bercakap retorik tanpa bertindak. Beliau perlu menamakan atau mencari seorang pemimpin sama ada di peringkat ketua bahagian mahupun ahli biasa yang mempunyai pengalaman dan boleh diterima semua.

“Sebaiknya Umno Selangor ini diperkukuh dengan gandingan muka baru dan lama yang diyakini rakyat agar impian memenangi pilihan raya akan datang terlaksana,” katanya.

Dalam pada itu katanya, parti tidak sepatutnya bertindak menuding jari menyalahkan sesama sendiri sebaliknya duduk berbincang bersama dan pilih pemimpin gantian yang berupaya memacu Umno Selangor ke peringkat yang lebih baik di mata pengundi.

“Saya berpendapat pimpinan yang ada sekarang sudah tepu hal demikian, membuatkan mereka gagal mencipta pembaharuan dan transformasi kepada parti agar diterima rakyat.

“Usah terlalu mengharapkan duit dan peruntukan semata-mata untuk memenangi hati rakyat. Tidak boleh begitu kerana kita telah janji kepada rakyat jadi ia memerlukan pengorbanan,” katanya.

(Sumber - http://www.sinarharian.com.my/politik/ir-bushro-dedah-amalan-tidak-sihat-umno-1.331539)

JPJ Diarah Bayar Ganti Rugi RM76,835 Kepada Peniaga

Mohd Iskandar, 32, memfailkan saman terhadap Adenan Md Isa, Penolong Pengarah JPJ Selangor, Ketua Pengarah JPJ dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.


SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Seorang peniaga hari Jumaat menang dalam samannya terhadap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung pembelian sebuah kereta curi dalam lelongan awam jabatan itu, enam tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff memerintahkan JPJ membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM76,835 kepada Mohd Iskandar Idris, selaku plaintif.

Dalam penghakimannya, beliau berkata JPJ telah gagal menguruskan penjualan secara tender hingga menyusahkan plaintif.

Mohd Iskandar, 32, memfailkan saman terhadap Adenan Md Isa, Penolong Pengarah JPJ Selangor, Ketua Pengarah JPJ dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan 12 Sept 2012 menerusi Tetuan Hakimi & Partners, Mohd Iskandar berkata pada 31 Okt 2008 beliau membeli sebuah kereta Perodua Kancil pada harga RM1,250 dalam satu lelongan awam yang dijalankan JPJ di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam.

Beliau mendakwa diberitahu oleh JPJ bahawa kereta itu adalah sah untuk dimiliki dan hak milik boleh ditukar kepada namanya tanpa sebarang masalah.

Namun pada 14 Sept 2009, plaintif ditahan polis atas alasan memiliki kereta curi dan digari di khalayak ramai ketika berniaga menjual minuman di sebuah pasar Ramadan.

Beliau kemudiaan dibawa ke Balai Polis Seapark, Petaling Jaya, untuk soal siasat.

Dalam saman itu, Mohd Iskandar mendakwa beliau terkejut apabila diberitahu polis bahawa kenderaan yang dibeli adalah kenderaan curi walhal beliau membelinya dalam lelongan awam yang dijalankan JPJ.

Beliau dibebaskan dengan jaminan polis setelah polis berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan sebelum kenderaan itu disita.

Mohd Iskandar berkata beliau sempat mendapatkan semula kereta itu tetapi ia sudah dileraikan semasa dalam penyimpanan dan perlu dibaiki.

Plaintif menuntut RM12,335 untuk ganti rugi khas, kos, dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA