Thursday, October 24, 2013

Asal Usul Kapitalisme

Kemelesetan besar, yang berlaku pada tahun 1929, telah mengubah sikap golongan pemodal terhadap masa depan sistem kapitalis itu sendiri, terutamanya terhadap peranan negara. Krisis ini juga telah memberi tamparan yang hebat terhadap golongan pemodal di Amerika Syarikat yang sebelumnya begitu yakin terhadap masa depan sistem pasaran bebas itu. 

Mereka amat terkejut dengan krisis yang berlaku pada tahun 1929-1932 itu, iaitu zaman timbulnya kesedaran umum dalam masyarakat Amerika Syarikat terhadap masalah sosial, yang mempersoalkan sistem kapitalis, seperti yang berlaku pernah di Eropah pada tahun 1865-1890 yang menjadi pencetus pergerakan pekerja sosialis. Para pemodal mempersoalkan sistem ini dengan berbagai-bagai cara. 

Ada yang cuba mengukuhkan kapitalisme melalui fasisme dan pemerintahan kuku besi. Di Amerika Syarikat dan Britain, campur tangan kerajaan bertambah atas nama tolak ansur sosial yang dinamakan New Deal dan fahaman Keynes yang dilaksanakan untuk mengatasi Kemelesetan Besar, 1929-1933. 

Dari segi pemikiran ekonomi juga, telah berlaku Revolusi Keynes, yang menganjurkan lebih banyak campur tangan kerajaan demi mengatasi masalah ekonomi kapitalis, terutamanya pengangguran.  Sistem fasis biasanya timbul daripada krisis sosial, ekonomi dan politik yang berkaitan dengan ketegangan dalam hubungan kelas yang melampau, akibat kemelesetan ekonomi dalam tempoh yang panjang. Di bawah keadaan tersebut perbincangan dan perundingan antara kelas pekerja dengan kelas pemodal tidak mungkin berjaya. Ini mengakibatkan kerajaan kapitalis tidak membenarkan gerakan kelas pekerja berkernbang dengan sewenang-wenangnya. 

Dalam sejarah kapitalisme, terdapat dua jenis krisis berkala, iaitu kitaran jangka pendek, yang berulang setiap lima tujuh atau sepuluh tahun, dan kitaran jangka panjang, sepanjang lebih kurang 50 tahun, yang mula dibincangkan oleh seorang ahli ekonomi Rusia bernama Kondratief. Kitaran jangka panjang meliputi tahap kadar pertumbuhan tinggi, yang biasanya diikuti dengan tahap kadar pertumbuhan rendah. Tempoh 1913-1940 merupakan tahap meleset kitaran jangka panjang apabila pengeluaran kapitalis telah rnerosot. Dalam kitaran jangka pendek antara tahun 1913-1920 dan 1920-1929, kemelesetan yang teruk telah berlaku. Kitaran jangka panjang yang bermula selepas Perang Dunia II yang masih berterusan ini telah membawa satu perkembangan baru dalam hubungan antara kapitalis dengan pekerja. 

Demi mengukuhkan sistem kapitalis itu sendiri, beberapa faedah dan jaminan telah diberi kepada kaum pekerja, terutamanya di Eropah Barat dan Amerika Utara. Dasar kapitalisme selepas perang adalah berdasarkan kerjasama antara gerakan buruh yang bersubahat dengan para kapitalis demi meningkatkan taraf hidup para pekerja. Walau bagaimanapun, masih terdapat tanda tanya dan keraguan terhadap masa depan sistem ini. Mekanisme ekonomi pasaran dengan sendirinya tidak dapat menjamin pengekalan sistem ini. 

Oleh sebab mekanisme kapitalisme tidak dapat diharapkan, campur tangan kerajaan semakin perlu demi mengekalkan sistem tersebut. Campur tangan ini telah menghasilkan ekonomi campuran, yang sebenarnya masih terus bersifat kapitalis. Golongan pemodal sendiri tidak yakin lagi terhadap mekanisme sistem kapitalis. Campur tangan kerajaan dianggap perlu bagi menjamin keselamatan sistem kapitalis dalam jangka panjang dan merupakan ciri utama kapitalisme sebelum tahun 1980-an. 

Sebenarnya, pengalaman kapitalisme di Eropah Barat selepas Perang Dunia II mempunyai banyak persamaan dengan pengalaman  New Deal di bawah Roosevelt di Amerika Syarikat sejak zaman Kemelesetan Besar. Untuk memahami asal usul kapitalisme ini, kita perlu mengambil kira Perang Dingin, iaitu faktor kedua yang menjelaskan perkembangan campur tangan kerajaan dalam ekonomi selepas perang. Perang Dingin boleh dianggap sebagai akibat ancaman kuasa antikapitalis terhadap negara kapitalis. Satu lagi krisis ekonomi yang serius, seperti yang telah berlaku antara tahun 1929-1933, mungkin tidak dapat diatasi oleh kapitalisme. Bayangkan apa yang mungkin akan berlaku di Jerman jika terdapat lima juta orang penganggur di Jerman Barat, sedangkan terdapat kekurangan pekerja di Jerman Timur. Jelaslah bahawa campur tangan kerajaan dalam ekonomi  kapitalis bertujuan nengatasi masalah kitaran dan krisis yang boleh mengancam masa depan sisterm kapitalis sendiri.