Tuesday, April 24, 2012

Semalaman Bersama Dato' Dr Abdul Razak Kechik Di Surau Pos Raya, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak.

Saya selalu mendengar nama Dato' Dr. Abdul Razak Kechik, President MRA tapi saya belum pernah menemui beliau secara bersemuka. Pada 23 April 2012 (semalam) saya berkesempatan bersama beliau kerana beliau bermalam di Surau Pos Raya, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak kerana beliau  akan merasmikan majlis penutup program bersama orang asli yang kami sama-sama anjurkan pada esok hari. Beliau sampai ke S.K. Pos Raya sekitar jam 12.15 malam. Difahamkan beliau menaiki bas dari Kuala Lumpur dan turun di Simpang Pulai, setibanya di Simpang Pulai beliau dijemput dan diambil oleh Hj. Hani Yang Kassim, Timbalan President 2, MRA Perak. 

Dato' Dr. Abdul Razak Kechik mengambil keputusan untuk bermalam bersama kami di Surau Pos Raya secara kebetulan kami baru balik dari program "Malam Kebudayaan Bersama Orang Asli" di balai rakyat kampung Orang Asli di Pos Slim. Program tersebut mendapat sambutan hangat seluruh kampung, dari anak-anak kecil, remaja, dewasa dan orang tua. Lebih 150 orang memenuhi ruang luar dan dalam balai rakyat Pos Slim. Bagi kami sambutan hangat yang diberikan oleh penduduk orang asli menunjukan penerimaan mereka menerima kehadiran kami walaupun pada peringkat awal saya sangat kuatir kami tidak diterima oleh mereka. Maklumlah untuk pengetahuan, hampir 98% penduduk Orang Asli di Pos Slim adalah beragama kristian.

Sebaik sahaja beliau memasuki ruang surau saya mengumumkan kepada semua mahasiswi peserta OPKIM tentang ketibaan VIP program OPKIM bersama orang asli yang kami anjurkan. Saya menjemput Dato' Dr. Abdul Razak berucap dan berkongsi pengalaman dengan kami pengalaman beliau terlibat dalam kerja-kerja amal dan sukarela di dalam dan luar negeri. Sambil bersila dan dikelilingi para mahasiswi peserta OPKIM beliau memperkenalkan diri beliau dan berkongsi pengalaman dengan kami. Beliau menyeru mahasiswa supaya terlibat dengan kerja-kerja sukarela dan dakwah supaya hidup kita lebih bermakna terutamanya berbakti kepada anak yatim, orang miskin dan orang yang memerlukan pertolongan termasuk kepada orang bukan islam.

Selepas sesi perkongsian pengalaman, kami menjamu beliau dengan nasi yang kami tanak sendiri (nasi tersebut agak lembik) dan kari yang kami masak tengah hari tadi (tapi telah dipanaskan pada petang hari), sambil berbual-bual tentang pelbagai hal luar dan dalam negara. Pingan yang digunakan oleh beliau untuk menjamu makanan kami lincin bersih Tiada sebiji nasi pun tertinggal didalam pinggang tersebut. Perbualan kami berhenti sekitar jam 2.30 pagi. Beliau hanya tidur beralaskan lantai surau yang keras dilapik dengan karpet nipis. Hati saya berkata, demikianlah betapanya zuhud Dato' Dr. Abdul Razak Kechik.

Tazkirah Subuh Bersama Dato' Dr. Abdul Razak Kechik President Malaysian Relief Agency (MRA)

Nasihat Dato' Dr. Razak Kechik, President Malaysian Relief Agency (MRA) dalam tazkirah subuh beliau sebelum merasmikan Majlis Penutup Program Khidmat Masyarakat Orang Asli di Pos Slim, Simpang Pulai, Perak yang dianjurkan oleh mahasiswi Kolej Delima dengan kerjasama MRA pagi semalam selepas solat subuh berjemaah di surau Pos Raya, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak kepada semua mahasiswi dan peserta OPKIM menceritakan mengenai sebahagian tafsiran surah al-fatihah. Diantara point beliau yang merangsangkan minda saya untuk berfikir sejenak.

Nasihat beliau "...Surah Al-Fatihah yang diberikan pelbagai nama itu adalah surah wajib untuk dibaca semasa kita bersolat, maksudnya sekurang-kurangnya kita membaca sebanyak 17 kali satu hari. Didalam surah tersebut terkandung doa yang bermaksud "...tunjukkan kami jalan yang lurus (ayat 6), (Iaitu) jalan orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang Engkau murkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (ayat 7)"

Kata beliau lagi " Jalan yang lurus adalah jalan kejayaan dunia dan akhirat. Jalan yang dirahmati dan diredhai Allah s.w.t. Jalan yang telah ditunjukan oleh para nabi dan jalan para Rasul", Pendek kata jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis Baginda. Pra syarat supaya kita berada dijalan yang lurus ialah kita wajib menterjemahkan rukun iman dan rukun islam kepada perbuatan dan amalan sehingga setiap langkah dan tindakan kita dalam kehidupan adalah cerminan kepada tuntutan rukun iman dan rukun islam.

Tambah beliau lagi "..Jalan yang sesat adalah jalan kehidupan yang bertentangan daripada yang dianjurkan oleh Rasululalah S.A.W contohnya seperti anjaran 'ayah pin dengan kerajaan langitnya'. Contoh yang lain ialah orang islam tapi tidak mengamalkan cara hidup seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah. Itu juga adalah kategori orang yang dimurkai dan orang yang sesat.".

Dato' Dr. Razak Kechik juga menyeru semua peserta OPKIM untuk menjalankan kerja-kerja dakwah kerana ia adalah satu usaha murni dan amat dianjurkan oleh Islam. Dakwah boleh dilakukan dengan pelbagai cara, dengan perbuatan, dengan ucapan dan dengan hati. Menunjukan contoh teladan yang baik juga adalah kerja-kerja dakwah. Umpamanya dalam program OPKIM ini, kita memberikan khidmat kepada Orang Asli dengan baik sehingga Orang Asli merasa gembira dengan perkhidmatan kita, itu juga adalah kerja-kerja dakwah.

Saya kagum dengan sifat zuhud yang di tunjukan oleh Dato' Dr. Razak Kechik, President MRA disepanjang saya mengiringi semasa beliau berada bersama kami dalam OPKIM tersebut. Jauh disudut hati saya, beliau adalah idola saya. Justeru pengiktirafan kerajaan mengurniakan beliau tokoh Maulidur Rasul  Kebangsaan 2010 memanglah sangat wajar.