Sunday, November 13, 2011

Soalan Lazim PFI

PPP

Soalan 1: Dalam konteks Malaysia. Apakah PPP?

Jawapan: Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI) atau Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang telah diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMke-9) merupakan satu lagi kaedah perolehan projek Kerajaan. Ia merujuk kepada pemindahan tangggungjawab pembiayaan dan pengurusan pelaburan modal dan perkhidmatan seperti pembinaan, pengurusan, penyenggaraan, pembaikan dan penggantian aset-aset Kerajaan seperti bangunan, infrastruktur, peralatan dan kemudahan lain kepada sektor swasta yang mana ia akan mewujudkan stand-alone business. Sebaga balasan, sektor awam akan membayar bagi perkhidmatan yang diberikan oleh sektor swasta. Dalam sesetengah projek PPP, pembayaran dibuat sendiri oleh pengguna kepada penyedia perkhidmatan. Terma PFI dan PPP digunakan saling bertukar ganti, namun dalam konteks Malaysia, PFI adalah subset kepada PPP.

Soalan 2: Bagaimanakah pembayaran dibuat kepada sektor swasta di bawah kaedah PPP?

Jawapan: Pembayaran dibuat berdasarkan prestasi penyampaian perkhidmatan syarikat yang mana Kerajaan akan hanya membuat bayaran sekiranya sesuatu perkhidmatan yang disampaikan itu menepati tahap perkhidmatan yang telah dipersetujui (pre-agreed service level) atau Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator- KPI) yang telah ditetapkan.

Soalan 3: Bagaimanakah sekiranya saya ingin mengemukakan cadangan projek untuk pertimbangan?

Jawapan: Sebarang cadangan projek haruslah dikemukakan terus kepada kementerian/agensi yang berkaitan.

Soalan 4: Apakah kriteria syarikat yang ingin terlibat dalam projek PPP?

Jawapan: Antara kriteria yang diperlukan adalah syarikat peneraju perlu mempunyai kedudukan kewangan yang mantap serta mempunyai sumber kepakaran pengurusan dan teknikal yang berkaitan. Di samping itu syarikat SPV terbabit perlu mempunyai nilai modal berbayar sekurang-kurangnya 10% daripada nilai projek.

Soalan 5: Mengapakah Kerajaan menubuhkan satu lagi Unit PPP di bawah Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini? Adakah sebarang tujuan tertentu penubuhan Unit baru ini?

Jawapan: Penubuhan Unit ini membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam meningkatkan sistem penyampaian dalam bentuk proses, prosedur berkaitan kejayaan pelaksanaan projek PPP. Dengan wujudnya Unit ini di bawah Jabatan Perdana Menteri, aspek kawalan dan perundangan dalam projek PPP akan lebih diberi tumpuan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek PPP. Ia juga menunjukkan bahawa Kerajaan serius dalam membantu perniagaan menerusi peningkatan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian awam dan penghargaan Kerajaan terhadap peningkatan peranan sektor swasta dalam ekonomi negara.

Soalan 6: Apakah yang dimaksudkan Value For Money (VFM) dalam perolehan melalui kaedah PPP?

Jawapan: VFM merujuk kepada kombinasi yang optima kos sepanjang hayat (whole life cycle cost) dan kualiti bagi memenuhi keperluan pelanggan dan bukan merupakan pilihan perkhidmatan berdasarkan kos yang terendah.

Soalan 7: Bagaimanakah Value For Money (VFM) dapat dicapai melalui PPP?

Jawapan: VFM dapat dicapai melalui agihan risiko yang optima di antara sektor awam dan sektor swasta, kontrak jangka panjang yang merangkumi kos sepanjang hayat (life cycle costing), penggunaan spesifikasi output yang menggalakkan inovasi, persaingan yang kompetitif, mekanisme pembayaran berdasarkan pencapaian dan kemahiran serta kepakaran sektor swasta yang terlibat.

Soalan 8: Apakah yang dimaksudkan dengan pengagihan risiko yang optima dalam perolehan melalui kaedah PPP?

Jawapan: Pengagihan risiko yang optima bermaksud risiko bagi sesuatu projek diperuntukkan kepada pihak yang dapat menguruskannya dengan cara paling baik. Sebagai contoh, risiko reka bentuk dan pembinaan adalah diperuntukkan kepada sektor swasta dan pembayaran hanya dibuat oleh sektor awam apabila sesuatu perkhidmatan itu telah tersedia (available).

Soalan9: Adakah projek berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sesuai dilaksanakan melalui kaedah PPP?

Jawapan: Projek yang berkaitan ICT tidak sesuai dilaksanakan melalui kaedah PPP kerana perubahan yang kerap dan dalam masa pendek teknologi berkenaan.

Soalan 10: Apakah perbezaan di antara kaedah perolehan secara konvensional, PPP dan penswastaan?

Jawapan: Perbezaan di antara ketiga-tiga kaedah perolehan berkaitan adalah seperti di Jadual berikut:

Konvensional

PPP

Penswastaan

Perolehan dibiayai terus daripada bajet Kerajaan

Pembiayaan daripada sumber kewangan pihak swasta tanpa jaminan Kerajaan.

Pembiayaan daripada sumber kewangan swasta tanpa jaminan Kerajaan

Impak secara langsung ke atas kedudukan kewangan sektor awam.

Impak ke atas bajet awam diagihkan sepanjang tempoh konsesi.

Tiada kesan terhadap perbelanjaan sektor awam.

Risiko ditanggung sepenuhnya oleh sektor awam.

Pengagihan risiko kepada pihak yang dapat menguruskannya secara berkesan.

Risiko ditanggung sepenuhnya oleh sektor swasta

Penglibatan meluas sektor awam di setiap peringkat sepanjang jangka hayat projek

Pembabitan sektor swasta melalui penguatkuasaan KPI yang telah dipersetujui

Kerajaan bertindak sebagai badan kawal selia

Kontrak jangka pendek dengan pihak swasta

Kontrak jangka panjang dengan pihak swasta

Kontrak jangka panjang dengan pihak swasta

Sesuai untuk projek yang mempunyai pulangan sosio-ekonomi yang tinggi dan pertimbangan strategik.

Sesuai untuk projek yang mempunyai daya maju komersial

Sesuai untuk projek yang mempunyai daya maju komersial yang tinggi