Sunday, August 22, 2010

Ulamak Tempatan - Pak Kiyai Hj Kamaruddin

Latarbelakang

Nama asal beliau ialah Mat Sirat bin Hj Husin dan dilahirkan di Kampung Meru pada tahun 1926 dan meninggal pada tahun 2008. Beliau lebih dikenali dengan Kiyai Haji Kamarudin oleh penduduk kampung. Nama ini diberi setelah beliau balik dari menunaikan ibadah haji, maka untuk mengambil berkat dari tanah suci Mekah nama asal beliau ditukar menjadi Haji Kamaruddin. Pak kiyai mempunyai dua orang isteri yang pertama bernama Amnah binti Haji Omar yang dikurniakan 2 orang anak dan isteri kedua bernama Siti Aisyah binti Haji Ahmad dan dikurniakan 7 orang anak.

Pendidikan awal.

Pada peringkat awal pak kiyai bersekolah di Sekolah Rendah Sg. Binjai dan tamat belajar hingga darjah 5. Setelah itu, beliau belajar di sekolah Meru pekan di masjid Meru. Pada waktu itu masjid Meru merupakan masjid jamek yang menjadi pusat ibadah dan tarbiyah. Ramai di kalangan ulamak-ulamak tempatan yang membuka halaqah pengajian di sudut-sudut masjid menyampaikan ilmunya melalui sistem pengajian berkitab hingga khatam satu buku. Guru yang menyampaikan ilmunya adalah mereka yang diiktiraf ilmu agamanya oleh masyarakat kampung.

Kiyai Fakeh salah seorang guru yang mengajar pak kiyai kamaruddin di halakah masjid sebelum beliau menyambung pelajaran ke Indonesia. Pada tahun 40an sebelum penjajahan Jepun ke Tanah Melayu beliau berhijrah ke Indonesia belajar di pondok salaf di Kediri Jawa Timur. Pada peringkat awal pak kiyai pergi menuntut ilmu di pondok bersama abang beliau Haji Samsul Alam, Haji Salahuddin, abang kepada Imam Hambali dan anak buah beliau Haji Maksum. Seorang dari beliau, Haji Maksum setelah belajar di sana beliau terus menetap di Jawa Timur Indonesia. Selain di pondok kediri, pak kiyai juga belajar di pondok Tebu Ireng yang merupakan pondok salaf tertua di Indonesia dan pondok di Jombang.

Menurut Imam Hambali yang merupakan anak buah pak kiyai bahawa Kiyai Kamarudin juga pernah berguru kepada Kiyai Wahid seorang ulamak terkenal di Indonesia yang hampir menyamai taraf wali dan salah seorang perintis gerakan islam di Indonesia Nahdatul Ulama. Kiyai Wahid merupakan bapa kepada bekas Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid (Gusdur).

Menabur bakti

Pada tahun 1950, pak kiyai kembali ke Tanah Melayu. Setahun selepas itu, beliau mengajar di Sekolah Agama Meru Pekan sebagai guru agama kumpulan B. Ketika itu guru Sekolah Agama Meru Pekan dibahagi menjadi dua. Kumpulan A adalah yang berkelulusan sekolah Arab manakala kumpulan B dari kalangan guru agama biasa. Atas penguasaan ilmu agama yang luas pak kiyai diberi amanah menjadi guru agama kumpulan A, seterusnya menjadi guru besar di sekolah tersebut. Pak kiyai juga dipilih oleh JAIS sebagai tenaga pengajar kelas guru-guru agama dalam bidang tauhid di daerah Klang bagi mereka yang belum mendapatkan tauliah mengajar di sekolah agama. Setelah beliau bersara sebagai guru besar beliau dilantik oleh pejabat agama sebagai Imam juru nikah. Di samping itu, pak kiyai juga menjadikan rumahnya sebagai pondok pengajian yang dibuka kepada masyarakat untuk mempelajari ilmu agama pada setiap pagi hari Rabu.

Murid beliau yang belajar terdiri dari pelbagai peringkat dari kalangan muda mudi hingga orang tua dari berbagai tempat seperti Kampung Delek, Jalan Kebun dan lain-lain tempat lagi. Jiwanya yang lembut dan sifatnya yang tidak pernah marah amat disayangi dan disegani oleh murid-murid beliau. Selain itu, pak kiyai juga mengajar di surau-surau di kampung Meru, Shah Alam hingga ke kawasan Subang Jaya. Penghormatan yang tinggi diberikan oleh masyarakat Meru sebagai seorang alim ulamak tempatan apabila pak kiyai diminta halaqah mengajian di masjid Meru seterusnya beliau dilantik menjadi imam, khotib dan penasihat agama di masjid jamek As-Syarif Meru. Pak kiyai cukup mahir dan arif dalam mensyarah kitab Tafsir Jalalain, Fiqh Syafie Kifayatul Akhyar serta hafal dan menguasai Matan Alfiah (kitab tatabahasa arab yang memiliki seribu kaedah tatabahasa).

Menurut beberapa orang murid pak kiyai semasa beliau belajar di Indonesia beliau dikenali sebagai orang Singapura oleh guru dan kawan-kawan pak kiyai di pondok. Beliau sering menggantikan tempat mengajar gurunya ketika gurunya tidak dapat hadir dalam kelas pengajian talaqi semasa di pondok.

Keperibadiannya

Pak kiyai juga seorang yang istiqomah dalam menjalankan amalan sunah-sunah dan banyak menghabiskan masa tuanya dengan berzikir dan menyampaikan ilmunya pada masyarakat tempatan. Pak kiyai seorang yang berjiwa besar bergerak menyebarkan ajaran islam yang sebenar kepada masyarakat terutama penduduk kampung Meru. Beliau sentiasa bermuzakarah bersama teman-teman seperjuangannya seperti kiyai Munawwir, kiyai Kassim, kiyai Temyati, kiyai Darus dan imam Hambali dalam penyebaran dakwah terutama perkara-perkara adat yang banyak bertentangan dengan ajaran islam. Begitulah perjuangan seorang ulamak dalam menyebarkan ajaran islam. Setiap titisan keringan yang keluar dari tubuhnya hanya semata-mata untuk menjadikan penduduk Meru ini mengenal Allah dan RasulNya tanpa meminta habuan dunia dari mana-mana pihak. Perjuangan mereka adalah iklas, niat mereka adalah telus dan langkah mereka adalah mencari keredhoan Allah. Semoga Allah swt mencucuri rahmat perjuangan pak kiyai dan digolongkan diantara penghuni syurga Allah