Thursday, May 21, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 6)

" Yang Maha Suci"

Al-Qudus adalah nama Allah yang kelima. Al-Qudus bermaksud Allah Yang Maha Suci, Allah suci daripada segala sifat kerendahan, sifat kekurangan, sifat keburukan, sifat baru sebagaimana makhlukNya dan sifat kerosakan. Allah Maha Bersih daripada sifat-sifat tersebut. Allah S.W.T adalah Zat Maha Sempurna yang suci, murni dan bersih, pada zahir dan batin, daripada awal sehingga akhir dari sifat-sifat kelemahan, kekurangan, kenegatifan dan keburukan. Allah S.W.T itu bersifat Maha Agung dan Maha Tinggi. KesucianNya itu menjadikan Dia Maha Bersih, Maha Cantik, Maha Kemas, Maha Tersusun dan Maha Menginspirasikan. Dia ialah Dzat yang mengilhamkan inspirasi melalui sifatNya Yang Maha Suci dan Yang Maha Bersih.

Bagaimana kita menumbuhkan sifat Maha Suci Allah S.W.T itu didalam diri kita? perkara ini dapat kita fahami apabila kita kembali kepada fitrah semulajadi manusia, secara fitrahnya semua manusia suka dan ingin kepada kesucian dan kebersihan, apabila kita memandang sesuatu yang suci dan bersih, hati kita akan suka, gembira, rasa terhibur dan rasa seronok , menyebabkan kita terus ingin memandang sesuatu yang suci dan bersih itu, mahu terus duduk disitu , kerana pada sesuatu yang suci dan bersih ada kelembutan, ketenangan dan sumber inspirasi.

Justeru itu maka sewajarnya kita menyerap sifat suci Allah ini dengan sentiasa menjaga kebersihan pada diri sendiri, menjaga kebersihan tempat kita tinggal, sentiasa kemas, sentiasa cantik dan sentiasa teratur. Harta yang kita perolehi daripada kurniaan Allah juga perlu kita bersihkan dengan mengeluarkan zakat.

Hati yang suci adalah hati yang bebas daripada sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, benci dan sakit hati. Hati yang suci, murni dan bersih adalah hati yang bebas daripada prasangka buruk, memegang prinsip hidup yang salah, membuat kesimpulan berdasar pengalaman yang negatif, mempunyai kepentingan peribadi bila melakukan sesuatu, melihat pada sudut pandang yang salah, suka membanding-banding dan bersikap fanatik terhadap sesuatu. Itulah sifat Allah Yang Maha Suci yang perlu kita terapkan didalam hati kita, kelak pemikiran kita dan tindakan kita akan berdasarkan suara hati yang meletakan Allah S.W.T dihadapan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Kesucian juga sering dikaitankan dengan putih, jernih, asli dan bening, ia juga adalah simbul bersih daripada noda dan dosa serta tidak mengikut kehendak nafsu haiwani.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 5)

"Yang Maha Kuasa"

Nama Allah yang ke-empat ialah Al-Malik iaitu Yang Maha Kuasa. Dalam Al-Quran ada disebut Al-Azizul Malik yang bermaksud Yang Maha Perkasa dan Maha Kuasa, Maalikul Mulk bererti Yang Maha Memiliki segala kekuasaan, Al-Malik bererti Raja Yang Maha Kuasa, ada juga yang mentafsirkan Al-Malik dengan maksud Maha Merajai atau Maha Memerintah. Apapun tafsiran tersebut, prinsipnya ialah Allah S.W.T adalah Zat Yang Maha Berkuasa, Maha Pencipta dan Menjaga hukum-hukamNya atas alam semesta yang dipanggil hukum alam, hukum sebab dan akibat. Allah Yang Maha Kuasa bererti KemampuanNya, KeupayaanNya, KebolehanNya, kudratNya, tenagaNya, pengaruhNya, kerajaanNya dan pemerintahNya Maha Tinggi, Maha Sempurna dan Maha Agong terhadap segala sesuatu.

Kuasa Allah itu wujud pada sekalian makhlukhNya samada dilangit dan dibumi dalam pelbagai bentuk. Daripada pelbagai kuasaNya itu wujud kerajaanNya di langit dan di bumi. KuasaNyalah yang memberi tenaga pada elektron yang mengelilingi inti atom, mengerakkan bumi beredar mengikut orbitnya mengelilingi matahari, menghidupkan sel-sel didalam tubuh manusia dan pelbagai lagi.

Dalam konteks politik, KUASA selalu dikaitkan dengan pemerintahan dan kerajaan, dalam demokrasi, kuasa pemerintahan diberikan kepada rakyat yang terbanyak melalui pemilihan, contohnya, Barrack Obama dilantik menjadi President Amerika Syarikat setelah mendapat undian terbanyak daripada rakyat Amerika melalui pilihanraya. Dalam bidang mekanikal KUASA selalu dikaitkan dengan keupayaan dan kekuatan sesuatu enjin yang dipanggil kuasa kuda, semakin besar kuasa kuda enjin tersebut semakin kuatlah keupayaan enjin tersebut, dalam bidang elektrik kuasa, ia diertikan sebagai hasil darab beza upaya dan arus elektrik yang diukur dalam kilowatt. Semakin besar kuasa sesuatu peralatan elektrik maka semakin besarlah tenaga elektrik diperlukan untuk menggunakan alat tersebut. Kesimpulannya, kuasa melambangkan pengaruh, kekuatan, hak, prestaj dan kerajaan. Ada orang yang dipanggil gila kuasa kerana sifatnya yang terlalu rakus dengan kuasa.

Bagaimana sifat Allah Yang Maha Kuasa ini ditumbuhkan dalam diri, jiwa dan tindakan kita? Perkara ini dapat difahami dengan mengambarkan diri kita sebagai Raja kepada anggota-anggota komponen tubuh yang lain, tubuh kita yang satu ini terbina daripada anggota-anggota yang lain seperti kepala, dahi, mata, telinga, tangan, dada, perut, kaki dan lain-lain lagi. Dalam tubuh kita ada jantung, hati, urat, tulang dan sebagainya. Dalam kepala kita ada otak, saraf dan pelbagai lagi. Tiga komponen utama iaitu body, mind and soul ini membentuk diri kita yang satu ini.

Justeru itu, diri kita yang satu ini perlu menjadi Raja kepada body, mind and soul. Kita perlu berkuasa untuk menguasai pemikiran supaya dekat dengan Allah, mempengaruhi anggota tubuh untuk melakukan perlakuan yang diredhai Allah, mengarahkan jiwa supaya tunduk kepada Allah dengan kuasa ihsan, cahaya iman dan sinar islam. Contohnya, semasa solat, kita berkuasa untuk membersihkan jiwa daripada sifat-sifat mazmumah , berkuasa mengarahkan anggota tubuh untuk melaksanakan 13 rukun sembahyang dengan baik, tertib dan sempurna, berkuasa merajai pemikiran khusyuk kepada Allah. Contoh yang lain, semasa melaksanakan tugas harian kita dipejabat kita berkuasa melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan kemampuan, keupayaan, kebolehan, kudrat, tenaga, pengaruh, kerajaan tubuh dan pemerintah diri ke tahap terbaik, cemerlang dan sempurna. Dengan demikian hasil daripada pekerjaan kita akan menjadi terbaik dan sempurna.

Dengan berzikir " Ya Malik" sebanyak 121 kali setiap pagi atau setelah gelincir matahari , maka dengan izin Alah kita akan sentiasa dihargai orang secara sewajarnya dan hidup dalam kecukupan.