Tuesday, May 12, 2009

Etika Usahawan Muslim - Kenapa Tidak Releven Untuk Diamalkan?

Saya bertemu dengan seorang sahabat yang telah melibatkan diri dengan dunia perniagaan hampir 20 tahun, bermula daripada kecil-kecilan sehinggalah beliau memiliki pejabat besar yang beroperasi di Matahari, Sunway. Beliau adalah kontraktor Elektrik dan banyak terlibat dengan projek Tenaga Nasional Berhad. Kami berbual dan bertukar-tukar fikiran tentang kehidupan, agama dan seluk beluk perniagaan.

Saya adalah pegawai kerajaan dan sememangnya saya tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan, tapi saya pernah belajar teori perniagaan dan tahu serba sedikit tentang etika usahawan muslim melalui pembacaan. Diantara ciri-ciri usahawan muslim ialah amanah sehingga dipercayai, berkredibiliti, jujur, komitmen 100 peratus, melaksanakan penambahbaikan berterusan sehingga kesempurnaan, kreatif dan Inovatif, tidak takut persaingan, membangkitkan potensi terbaik dalam diri, mencari karunia Allah sebanyak-banyaknya dan berzakat bila beroleh keuntungan.

Jadi saya mencadangkan kepada sahabat saya ini untuk mengamalkan dan menerapkan ciri-ciri usahawan muslim supaya perniagaannya lebih maju. Sahabat saya menjawab "itu sekadar teori sahaja, ia tidak sesuai dipraktikan dalam perniagaan sebenar, dalam konteks di Malaysia" saya bertanya kenapa begitu, jawab beliau "dalam perniagaan, kita tidak boleh jujur sangat, kalau kita jujur, perniagaan kita akan lingkup sebab semua rahsia perniagaan kita diketahui oleh pesaing". tambah beliau lagi "kalau kita hendak mendapatkan kontrak, kita kena layan semua kehendak S.O (site officer), kehendaknya pula pelbagai ragam dan bermacam-macam, kadang-kadang terpaksa melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak agama, namun kita tetap kena layan jika kita hendak kontrak".

Kesimpulannya kata beliau, etika usahawan muslim tidak releven untuk dilaksanakan di Malaysia jika mahu berjaya terutamanya menjadi kontraktor seperti beliau. Sebabnya budaya kontraktor di Malaysia sememangnya begitu. Berbeza jika perniagaan kita itu jenis yang melibatkan pengguna secara terus seperti kedai runcit, trading dan sebagainya.

(bersambung)