Monday, July 7, 2008

Mahasiswi UiTM Menjadi Mangsa Ragut di 'Round-About' Seksyen 16

Saya menerima panggilan telefon daripada En. Hanafi, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Apartment Baiduri, Seksyen 7, sekitar jam 7.15 petang semalam. ' student you kena ragut, sekarang saya bersama mereka on the way ke balai polis seksyen 11 untuk buat laporan' kata beliau, 'lepas magrib saya akan ke sana' jawab saya melalui telefon bimbit.

Sebaik sahaja saya sampai di Balai Polis Seksyen 11, saya bertanya kepada anggota polis wanita yang sedang bertugas dikaunter 'tadi ada tak student UiTM buat laporan polis tentang kes ragut?', 'ada', jawab beliau 'budak-budak tu ada di tingkat 1 untuk sesi penyiasatan' tambahnya. Saya terus ke tingkat satu di bahagian penyiasatan jenayah.

Dari jauh saya nampak seorang gadis bertudung sedang menjawab telefon bimbit sambil menangis, saya yakin beliau adalah mangsa kes ragut berkenaan. Saya memperkenalkan diri saya kepada gadis tersebut dan dia mengesahkan bahawa beliau adalah mahasiswi UiTM dan beliau diragut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai 'Liza'. Liza adalah pelajar tahun akhir FSSR.

Mengikut cerita Liza, sekitar jam 6.30 petang dia dan seorang lagi rakannya bernama Hidayah dalam perjalanan ke Mydin seksyen 18 untuk membeli barang-barang keperluan kuliah sebagai persiapan untuk menghadapi semester baru. Hidayah menunggang motosikal manakala Liza duduk dibelakang sambil memegang erat beg tangan beliau, dalam perjalanan hati kecil Liza rasa tidak selesa, rasa macam ada yang tidak kena. Sebaik sahaja mereka sampai di round-about seksyen 16, sebuah motosikal RXZ yang ditungang oleh seorang lelaki kurus mencapai beg yang dipegang oleh Liza dan terus merentap beg tersebut menyebabkan tali beg tangan Liza terputus, nyaris Hidayah terbabas, mujurlah beliau dapat mengawal motorsikal dan mereka tidak terjatuh daripada motosikal. Mengikut cerita Liza lagi, terdapat kad pengenalan, handphone, kad ATM, kad matrik UiTM, kunci rumah dan sedikit wang dalam beg tersebut.

Sebaik sahaja sesi penyiasatan tersebut selesai saya membawa mereka ke Kompleks Sukan UiTM untuk bersama-sama ke majlis taklimat pelajar baru nr, selepas 30 minit di Kompleks Sukan saya menghantar mereka ke Apartment Baiduri, Seksyen 7.

Berbalik kepada kesah ragut tadi, semua yang berlaku ada hikmahnya, nasihat saya kepada Liza dan Hidayah, kita perlu mencari hikmah disebalik peristiwa ini, mungkin kita telah melakukan kesalahan tanpa kita sedari, itu sebagai balasan terhadap kealpaan kita, kita juga perlu proaktif memandang kehadapan, yang hilang akan pergi, yang tumbuh akan berganti. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada En. Hanafi kerana membantu kami dalam hal ehwal kebajikan mahasiswa di apartment baiduri.

Perjumpaan Mahasiswa NR Baru dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni

Sebentar tadi satu perjumpaan di antara semua mahasiswa nr baru telah diadakan di kompleks sukan UiTM. Majlis bermula pada jam 8.30 p.m dan berakhir jam 11.00 pm. Saya sampai agak lewat sekitar jam 9.15 p.m kerana terpaksa ke Balai Polis Seksyen 11 bagi membantu seorang mahasiswi UiTM yang menjadi mangsa ragut membuat laporan polis.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Balai Polis Seksyen 6, Chief Inspector Zamri , Penolong Pengarah (operasi) Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) En. Mohd Akmal Hj. Senin, Pengarah Pembangunan Pelajar Prof. Madya Dr. Rosmin Talib, Pengurus Unit Pengurusan NR, En. Amizar Mohd. Amin, wakil-wakil penduduk, semua Pegawai Pembangunan Pelajar- NR, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar NR dan beberapa pegawai HEP yang lain.

Dalam ucapannya Prof. Madya Dr. Rosmin Talib mengingatkan mahasiswa nr supaya jangan terlibat dengan politik kepartian contohnya mengibarkan bendera parti politik dihadapan rumah, menghadiri dan menyertai demontrasi yang dianjurkan oleh parti politik dan sebagainya. Disamping itu, beliau menggesa pelajar supaya sentiasa menjaga nama baik universiti.

Chief Inspector Zamri dalam sesi taklimat beliau menjelaskan bahawa semua mahasiswa perlu tahu menjaga harta benda masing-masing, sentiasa mengunci pintu rumah, sentiasa mengunci motosikal dengan kunci pendua, elakan daripada keluar lewat malam, jangan keluar seorang diri, jangan terlibat dengan gangsterisme. Mengikut lapuran polis yang diterima jelas beliau, diantara item yang sering menjadi sasaran kecurian ialah laptop, motorsikal dan handphone. Jagalah hartabenda anda sebaik mungkin.

Penolong Pengarah (operasi) Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) En. Mohd Akmal Hj. Senin pula dalam sesi taklimat beliau menerangkan tentang jenayah syariah yang sering dilakukan oleh mahasiswa UiTM iaitu 'khalwat'. Denda yang akan dikenakan jika disabitkan bersalah ialah RM 3,000.00 atau 2 tahun penjara. Jadi nasihat beliau, elakkan diri anda daripada duduk berdua-duaan lelaki dan perempuan ditempat yang sunyi dan tersembunyi seperti ditaman, dalam kereta, dibilik atau di dalam rumah dan sebagainya. Jauhkan diri daripada perkara-perkara yang mendekatkan kita kepada zina nasihat beliau lagi.

Pada saya, majlis perjumpaan diatas berjaya kerana lebih daripada 1,000 orang mahasiswa nr hadir dimajlis tersebut.