Wednesday, July 2, 2008

Ucapan Menteri Pengajian Tinggi Disiarkan Secara Live Ke Semua Cawangan UiTM Di Seluruh Negara Melalui "Media Streaming"

Pada hari ini saya agak keletihan dengan aktiviti rasmi dan aktiviti tidak rasmi, satu hari suntuk bermula daripada pagi tadi sehingga petang saya berada PICC, Putra Jaya. Saya menghadiri Bengkel anjuran MOSTI dan MOHE untuk merangka pelan tindakan dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan(R & D) OSS. Saya sempat berkenalan dengan pensyarah kanan UNITEN, Uwe Heinz Rudi Dippel, beliau telah menghambakan dirinya kepada OSS sejak 10 tahun yang lalu. Beliau tidak menggunakan produk microsoft.Menurut cerita beliau, OSS dan proprietary software berbeza dari segi falsafah, budaya dan perlesenan, mereka umpama kata lawan, hitam dan putih, lelaki dan perempuan, pendek panjang, begitulah perbezaan antara OSS dan proprietary software. Uwe Heinz Rudi Dippel berkata OSS tidak boleh dipatenkan tetapi OSS mempunyai Intellectual Properties. Justeru itu ujar beliau, MOSTI perlu memberikan pengecualian dalam melaksanakan R & D dalam bidang OSS daripada ia dipatenkan untuk tujuan kormesial kerana ia bertentangan dengan falsafah, budaya dan lesen OSS.

Saya juga sempat berkenalan dengan Dr. Suhaimi Napis Chef Information Officer (CIO) dan Director iDEC Universiti Putra Malaysia dan bertukar-tukar pandangan dengan beliau mengenai convergence voice, video dan data technology. Beliau mempunyai idea dan cara berfikir yang dinamik dan jauh ke hadapan, menurut cerita beliau, beliau boleh membuat panggilan telefon ke UPM secara percuma walaupun beliau berada di US atau UK dan dimana sahaja seluruh dunia dengan menggunakan VoIP. UPM telah membangunkan sistem VoIP dan tele-medicine mereka sendiri. Semuanya menggunakan kepakaran dalaman UPM sendiri. Saya terpegun dengan penjelasan beliau dan saya akui UPM mendahului UiTM dalam aspek ini.Bengkel ini selesai sekitar jam 5.00 petang.

Pada sebelah malam, sebagai pegawai HEP saya perlu hadir ke Dewan Sri Budiman untuk menyambut kedatangan Dato' Seri Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi. Beliau merasmikan Minggu Mesra Siswa Julai 2008 UiTM. Ucapan perasmian beliau disiarkan secara langsung ke semua kampus UiTM di seluruh negara dari perlis sehinggalah ke sabah menggunakan sistem rangkaian IPVPN yang dikendalikan oleh Unit Rangkaian, PSMB. Mengikut testimoni daripada Penolong Naib Canselor Jabatan Komunikasi Korporat Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman, semua kampus cawangan dapat menyaksikan live video streaming tersebut dengan lancar. Itu jawaban beliau semasa saya ajukan pertanyaan tentang live video conference tersebut. Beliau ialah pengarah UiTM Kampus Cawangan Perlis sebelum menjadi PNC.

Diantara intipati ucapan Dato' Seri Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi kepada semua mahasiswa baru ialah janganlah menjadi seperti kacang yang lupakan kulit. UiTM tidak ditubuhkan secara automatik, ia ditubuhkan oleh kerajaan Barisan Nasional, ia ditubuhkan kerana 'kontrak sosial', semua mahasiswa dan alumni perlu mempertahankan UiTM daripada terancam. Jadikan UiTM sebagai benteng terakhir demi maruah bangsa, agama dan negara. Jadikan ilmu sebagai senjata untuk mempertahankan UiTM, ujarnya lagi. Majlis tersebut selesai sekitar jam 10.30 malam.

Buat pertama kalinya ucapan menteri pengajian tinggi disiarkan secara langsung ke seluruh kampus cawangan dari perlis sehingga ke sabah. Semua mahasiswa baru dan pengurusan UiTM Kampus Cawangan mendengar ucapan tersebut di Dewan Besar di kampus masing-masing. Ini juga buat pertama kalinya IPVPN yang diselenggara oleh Unit Rangkaian PSMB digunakan untuk tujuan siaran langsung.